Definisi Hak Wanita
Hak asasi Perempuan merupakan bagian dari Hak asasi manusia. penegakan hak asasi perempuan merupakan bagian dari penegakkan hak asasi manusia. Sesuai dengan komitmen internasional dalam Deklarasi PBB 1993 , maka perlindungan, pemenuhan dan penghormatan hak asasi perempuan adalah tanggung jawab semua pihak baik lembaga-lembaga Negara ( eksekutif, legislatif, yudikatif ) maupun Partai politik dan Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM). Bahkan warga Negara secara perorangan punya tanggung jawab untuk melindungi dan memenuhi hak asasi perempuan .
Menghormati dan melindungi wanita
TENTU ada sebabnya apabila 'Respek Wanita: Masyarakat Sejahtera' dijadikan tema pada sambutan Hari Wanita 2013 peringkat kebangsaan dan negeri yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Bersempena sambutan berkenaan esok, kita ketepikan dulu menyingkap mengenai pencapaian demi pencapaian golongan wanita yang sering diperkatakan apabila setiap kali tibanya Hari Wanita setiap tahun.
Sememangnya, tidak dapat disangkal tahun demi tahun, ada saja pencapaian dan kemajuan yang diperoleh oleh wanita di negara ini dalam pelbagai bidang sama ada ia memberi kesan yang membanggakan kepada keluarga masing-masing, syarikat di tempat kerja yang diwakili atau mengharumkan nama negara.
Dan kita turut mengakui peranan yang dimainkan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta lain-lain agensi berkaitan dalam memberi laluan dan memudahkan kaum wanita membangunkan potensi diri sekali gus membantu meringankan beban keluarga dan pada masa yang sama juga menyumbang dalam menjana ekonomi negara.
Bagaimanapun, dalam memperkasa dan mengangkat wanita dalam bidang-bidang tertentu, mengikut kemampuan dan tahap pendidikan mereka, soal kebajikan, emosi dan keselamatan wanita perlu dititik beratkan.
Sebabnya, jika itu dikesampingkan, sudah tentu akan mempengaruhi dan menjejaskan perjalanan wanita dalam mencapai kejayaan berkenaan dan melalui kehidupan yang selesa.
Perlu diingat bahawa tugas wanita kini bukan sekadar menjaga hal ehwal rumahtangga dan mendidik anak-anak, mereka turut bekerja untuk membantu keluarga tidak kira apa jua tahap pendidikan mereka.
Dalam keletihan selepas bekerja, bila pulang ke rumah wanita masih boleh menguruskan hal-hal rumahtangga dan keluarga dan apabila hal-hal seperti ini diperlekehkan dan kemampuan mereka dipandang rendah oleh sesetengah lelaki, tentu ini sesuatu yang 'menyakitkan'.
Sedangkan kaum lelaki sepatutnya menunjukkan rasa 'respek' atau hormat terhadap kemampuan wanita menangani kerja-kerja ini yang sekali gus berkorban untuk meringankan beban mereka juga. Itulah hakikat yang sepatutnya diterima lelaki.
Tidak kiralah sama ada wanita itu memegang jawatan penting di tempat kerja, bekerja di pejabat-pejabat kerajaan atau swasta, bekerja di kilang-kilang atau pasar raya, semua itu secara tidak langsung dilakukan untuk membantu meringankan beban keluarga dan bagi yang telah berumahtangga meringankan beban suami pula dengan konsep susah payah digalas bersama.
Pun begitu, dalam kita mengakui kemajuan dan kejayaan wanita, pada masa yang sama kes keganasan terhadap golongan ini semakin meningkat.
Mungkin terdapat ramai wanita di luar sana, yang terpaksa hidup merana dan ketakutan kerana terlibat dalam keganasan rumahtangga, gangguan seksual dan sebagainya.
Paling menyedihkan, hal-hal sebegini didiamkan kerana bimbang sekiranya bersuara atau dilaporkan kepada pihak berkuasa akan teruk dipukul, akan ada tindakan membalas dendam, rasa sayang yang tidak bertempat kepada si pelaku dan macam-macam lagi.
Wanita yang mengalami trauma seperti ini harus diberi pembelaan sewajarnya dan dilindungi manakala pihak yang melakukannya perlu mendapat hukuman yang setimpal.
Dilaporkan sebanyak 2,576 kes keganasan terhadap wanita dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, berbanding hanya 2,295 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim memberitahu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia itu peningkatan berkenaan membimbangkan.
Sememangnya, kes-kes keganasan ini bukan dilakukan secara bermusim.
Seringkali pun, kita mendengar isteri didera suami dengan bermacam-macam bentuk keganasan seperti dipukul dengan pelbagai objek, disimbah asid dan ada yang sanggup membakar isteri sendiri apabila si suami hilang pertimbangan, panas baran atau menghadapi tekanan di tempat kerja lalu menjadikan isteri dan anak-anak sebagai mangsanya.
Dan bukan setakat itu, wanita juga terdedah dengan kes-kes gangguan seksual di mana-mana saja mereka berada tidak kira di tempat kerja, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja atau dalam pengangkutan awam. Ia dilakukan oleh orang yang dikenali atau tidak dikenali.
Sebab itu, kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan seperti teksi, gerabak kereta api, bas dan tempat letak kenderaan khas untuk wanita.
Ini bukan kerana kaum wanita di negara ini terlalu dimanjakan, tetapi ia satu keperluan dan kemudahan kerana jenayah gangguan seksual ini berlaku di mana-mana dan ini merupakan satu ancaman kepada kaum wanita.
Maka untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai terutama wanita, Kementerian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengadakan Kempen 'Respek Wanita' di seluruh negara. Ia bertujuan memberi pendedahan kepada wanita mengenai trend-trend jenayah terbaru, hak-hak mereka dan memberi maklumat-maklumat mengenai saluran aduan kes kecemasan.
Untuk memberi kesedaran dan pendedahan kepada wanita semata-mata, sudah pastinya ia tidak lengkap sekiranya kaum lelaki tidak dibawa bersama dalam memahami perspektif ini. Justeru, kementerian yang sama turut merancang untuk memperbanyakkan seminar yang dikhususkan untuk lelaki pula dalam meningkatkan kesedaran mereka tentang hak-hak wanita.
Ini sebagai langkah untuk mempertingkatkan lagi sifat melindungi dan muhasabah diri dalam diri seorang lelaki terhadap wanita.
"Kadang-kadang ada lelaki yang tidak sedar tindakan mereka itu jatuh pada kategori mendera walaupun isteri sendiri.
''Malah dalam satu seminar baru-baru ini, mereka mengaku kurang prihatin tentang hak wanita. Hilang pertimbangan, panas baran, tekanan kerja antara punca kenapa mereka mengabaikan hak wanita," kata Rohani dalam satu program temubual radio baru-baru ini.
Justeru, kesedaran dan pengetahuan mengenai hak-hak wanita seharusnya turut difahami oleh golongan lelaki.
Dan seharusnya, kempen 'Respek Wanita' ini dijalankan secara menyeluruh agar kesannya benar-benar memberi manfaat kepada wanita dan seluruh masyarakat.
Yang penting ia dapat mengekang berlakunya kes-kes keganasan rumahtangga dan gangguan seksual kepada wanita.
Jika tidak ia hanyalah sekadar kempen-kempen yang dianggap remeh sebelum ini, apabila tiada perubahan daripada sasarannya. Yang mahu dielak dan dibanteras semakin banyak pula berlaku.
Dan melihat kepada tema sambutan Hari Wanita tahun ini, sudah tentulah tidak cukup sekadar memberi peluang dan ruang kepada wanita untuk memajukan diri dalam pelbagai bidang, tetapi pada masa sama wanita juga menuntut agar mereka dihormati. Walaupun ia satu tuntutan yang nampak mudah tetapi amat sukar dilakukan oleh sesetengah pihak.
HAK KANAK-KANAK
Definisi hak kanak-kanak
Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001.
Perlindungan kanak-kanak merujuk kepada strategi dan aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.
Pengabaian merujuk kepada kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.
Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.
Penderaan fizikal menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu.
Penderaan emosi menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.
Penderaan seksual menurut Akta Kanak-Kanak 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.
Keganasan merujuk kepada sesuatu tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari segi fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak.
Eksploitasi merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.
sumber : http://www.jkm.gov.my/content.php?pagename=dasar_perlindungan_kanak-kanak_negara&
Fahami hak kanak-kanak
Kanak-kanak merupakan pemimpin generasi masa hadapan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa, guru, pemimpin dan setiap individu dalam memastikan kanak-kanak ini membesar dalam persekitaran yang harmoni, berkesefahaman dan penyayang.
Kanak-kanak juga mempunyai hak sepertimana orang dewasa. Tambahan lagi, keadaan mereka yang masih belum matang dan tidak dapat membuat keputusan dengan sendiri, menyebabkan mereka memerlukan perlindungan dan penjagaan khas, termasuk disediakan perlindungan undang-undang yang sewajarnya.
Mereka berhak ke atas perlindungan, hak untuk tidak didiskriminasi, hak ke atas perlindungan, hak untuk menyuarakan pendapat serta pelbagai hak-hak lain yang termaktub di dalam perjanjian antarabangsa, undang-undang serta dasar negara.
Malangnya, masyarakat Malaysia secara amnya tidak mengetahui dengan jelas bahawa kanak-kanak mempunyai hak istimewa ini. Pendapat kanak-kanak sering tidak diberikan perhatian dan tidak diberikan perlindungan yang sewajarnya. Berapa banyak kes yang dilaporkan oleh media massa tentang kes penderaan dan pembuangan bayi? Bagaimana pula dengan kes-kes penganiayaan dan pengabaian kanak-kanak yang tidak dilaporkan?
Apa itu Hak Kanak-kanak?
Menurut Akta Kanak-kanak 2001, kanak-kanak didefinisikan sebagai individu yang berumur di bawah 18 tahun. Hak kanak-kanak pula adalah hak-hak yang telah disenaraikan di dalam Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (Convention on the Rights of the Children).
Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak
Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak merupakan instrumen antarabangsa yang mempunyai ratifikasi paling banyak antara instrumen PBB yang lain. Konvensyen ini telah diterima pakai pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 November 1989 bagi mengiktiraf hak kanak-kanak. Malaysia telah meratifikasi konvensyen ini pada 17 Februari 1995, namun masih mengekalkan reservasi kepada Perkara 1, 2, 7, 13, 14, 15, 28(1)(a) dan 37.
Konvensyen ini menuntut agar kita menjadi lebih peka terhadap keperluan kanak-kanak dan mewujudkan persekitaran yang harmoni dan penyayang. Ia menggariskan hak kanak-kanak di seluruh dunia tanpa mengira jantina, agama, bangsa, kefahaman atau perbezaan. Tanggungjawab bagi memastikan perlindungan terhadap hak-hak ini terletak kepada kerajaan Negara-negara Pihak dan juga masyarakat.
http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/hak-asasi-manusia/212-fahami-hak-kanak-kanak
Kes penderaan kanak-kanak sebabkan kematian seharusnya dipandang serius
MIRI: Kes-kes penderaan kanak-kanak yang menyebabkan kematian harus dipandang serius kerana ia dianggap satu kesalahan jenayah dan perlu dikenakan tindakan tegas.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional Wan Zain Syed Mohdzar berkata kes terbaharu berlaku di Miri – penderaan sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak, Bryan Yusuf berusia dua tahun lima bulan harus, menjadi pengajaran kepada ibu bapa.
“Ibu bapa yang didapati mendera, mengabai atau melakukan keganasan terhadap kanak-kanak harus dikenakan tindakan lebih berat mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 bagi memastikan pelakunya tidak terlepas,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, hukuman lebih tegas kepada pelaku bersalah mengabaikan atau menyiksa kanak-kanak dapat memberi pengajaran kepada ibu bapa sebelum mereka melakukan sesuatu yang berbahaya kepada fizikal anak-anak.
“Kita juga menasihati ahli-ahli keluarga agar tidak menyembunyikan kes penderaan kanak-kanak yang berlaku dalam keluarga mereka bagi menyelamatkan mangsa penderaan,” jelasnya.
Wan Zain berkata pengabaian atau penderaan kanak-kanak terutama yang menyebabkan kematian perlu dihukum setara dengan kes pembunuhan kelas kedua dan hukuman itu perlulah setimpal.
“Kita tidak mahu kes penderaan ini terus berulang dan berleluasa tanpa pemantauan masyarakat dan kerajaan, sehubungan itu kita harus bersama-sama mencegah keganasan kanak-kanak di peringkat awal,” ujarnya.
Tambahnya, jika ibu bapa menghadapi tekanan perasaan atau sukar mengawal kemarahan mereka tidak harus menjadikan anak-anak sebagai tempat melepaskan tekanan atau ‘punching bags’.
“Keganasan fizikal seperti menumbuk, menampar, menendang atau mendatangkan kemudaratan terhadap kanak-kanak perlu dielakkan dan pasangan sudah berkahwin harus bersifat matang jika ada masalah,” katanya.
Di samping itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu menggandakan usaha memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai isu penderaan kanak-kanak.
“Kes-kes keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak semakin membimbangkan dan jika tiada program kesedaran di peringkat akar umbi kes-kes ini dijangka terus meningkat,” tegasnya.
Mengulas mengenai kes itu, Wan Zain berkata kementerian berkaitan harus sentiasa memeriksa status atau perkembangan anak-anak diangkat ibu bapa.
“Ini bagi memastikan ibu bapa terbabit benar-benar mematuhi prosedur dalam pengambilan anak angkat serta menjaga anak-anak berkenaan dengan sebaiknya,” kata beliau.
HAK PENGGUNA
Hak pengguna ialah satu bentuk peraturan yang dibuat oleh kerajaan bagi melindungi hak serta kepentingan para pengguna. Manakala pengguna yang bertanggungjawab pula adalah pengguna yang menyedari hak-haknya sebagai pengguna dan bertindak dengan penuh bijaksana dan bertanggungjawab. Antaranya termasuk:
Hak untuk mendapatkan keselamatan
Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.
Hak untuk mendapatkan maklumat
Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak. Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.
Hak untuk membuat pilihan
Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.
Hak untuk bersuara
Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.
Hak untuk mendapatkan ganti rugi
Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan' serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.
Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.
Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna
Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.
Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat
Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.